Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1929, bermula sebagai sekolah rakyat. Bangunan asal daripada kayu dan beratap nipah dibina di atas sebidang tanah berhampiran kawasan sawah. Guru Besar pertamanya ialah Allahyarham Tuan Haji Ishak bin Ahmad. Enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1934, kawasan sekolah ini dapat diperluaskan sehingga kira-kira dua ekar setengah kerana beberapa orang penduduk kampung mendermakan tanah mereka untuk memajukan sekolah ini. Dengan demikian, dua buah bangunan baru yang diperbuat daripada kayu dapat didirikan. Dengan jumlah enam buah bilik darjah, seramai kira-kira 140 orang murid dapat ditampung untuk belajar di sekolah ini. |